Hai dan Hello !

Saya ada cerita baru untuk awak. Selamat membaca dan semoga terhibur :)


Evangelina

Terima kasih beribu lemon kerana singgah ke blog saya yang serba kekurangan ni.

Monday, May 23, 2011

Beautiful Night 5

Aufa mengesat tubir mata dengan belakang tangan. Fuhh, pedih mata ni ha kupas bawang! Macam manalah Mak boleh lepak je kupas bawang? Pisau di tangan kanan diletakkan di atas papan pemotong. Beberapa ulas bawang di dalam mangkuk kecil itu dipandang sekilas.

“Astaghfirullah..” Istighfar panjang Puan Leha apabila melihat Aufa di atas meja makan. “Dah setengah jam, banyak ni aje bawang kamu kupas?” Tergeleng-geleng kepala Puan Leha melihat beberapa ulas bawang di dalam mangkuk kecil.

Aufa menyengih. “Pedih mata ni, Mak.” Itulah kau, dulu orang suruh belajar masak, banyak sangat alasan! Sekarang, rasakan!

“Mayangkan sekali bawang tu.” Puan Leha masih tercegat di tepi meja. Kesian pulak dia tengok Aufa yang terkial-kial tu.

Aufa buat muka pelik. “Mayang? Apa tu?” Apa jenis bahasa yang Mak aku pakai ni? Mayangkan bawang? Mayang Sari, aku tahulah!

Puan Leha menggeleng. “Itulah, dari dulu Mak ajak kamu tolong Mak dekat dapur. Tapi kamu taknak.” Heh, kena perli setepek! “Mayang tu hiris.”

“Mak, Aufa kan dalam proses belajar.” Aufa sudah memuncung. “Orang tengah semangat ni, janganlah merendah-rendahkan semangat yang ada ni.”

“Belajar tu, belajar jugak.” Ulas Puan Leha. “Tapi kalau macam ni gayanya, pukul berapa kita nak makan? Mahunya pukul tiga petang pun belum siap kalau macam ni.”

“You should be proud tau, Mak.” Sangkal Aufa. “Bukan senang nak tengok Aufa bersungguh-sungguh macam ni.” Betul tu, ingat senang ke nak tengok dia semangat macam ni? Kalau belajar pun, mana ada dia semangat sampai macam ni!

Puan Leha menggeleng perlahan melihat melihat perangai anaknya yang seorang ini. Ada sahaja idea nak menjawab! Mentang-mentanglah sikit tahun nanti nak jadi peguam, semua kata kita nak dibidasnya.

Puan Leha menarik kerusi di hadapan Aufa. Mangkuk kecil berisi bawang ditarik. “Meh sini, pisau tu.” Pinta Puan Leha.

Aufa melarikan pisau. “Mak, bagilah Aufa buat.”

“Meh sini, biar Mak tunjukkan macam mana nak potong bawang ni.” Pujuk Puan Leha. “Kalau Cik Anom kamu tengok ni, mahunya dia cancel ambil kamu buat menantu.” Tak ke haru kalau bakal besannya tengok anak perempuan sorang ni tak reti buat kerja dapur.

Aufa mencebik. “Mak ni, tak baik tau merendah-rendahkan anak sendiri.” Tak sukalah macam ni. Mencik-mencik!

Puan Leha mengalah. Aufa ni, kalau dah sampai perangai keras kepala dia tu, cakap apa pun belum tentu dia nak dengar. Kerusi ditolak ke belakang, Puan Leha bangun dari duduknya. Langkah di atur ke sinki lalu dia mengambil sebilah pisau.

“Macam ni orang mayang bawang.” Tunjuk Puan Leha seraya kembali duduk di kerusinya tadi.

Membulat mata Aufa melihat Puan Leha menghiris bawang. Fuyyo, lajunya! Mak aku ni mesti dulu berangan nak jadi chef! “Hebatnya, Mak!” Aufa sudah bertepuk tangan. Bravo!

“Benda senang aje ni, Aufa. Dah biasa nanti, pejam mata pun boleh buat.” Sempat Puan Leha menjeling Aufa sebelum dia bangun dari duduknya.

“Memandangkan Mak dah habiskan semua bawang atas meja ni, apa kata, Mak aje yang masak tengah hari ni.” Aufa berkata slumber sambil menayang sengih. Tak larat ha, nak duduk dapur ni lama-lama!

Puan Leha mengerut kening. “Tadi cakap, nak belajar masak?” Macamlah dia tak kenal dengan Aufa ni, nak mengelatlah tu.

“Aufa belajarlah ni. Mak masak, Aufa tengok.” Aufa masih menyengih.

Puan Leha menggeleng. “Macam-macamlah, kamu ni.” Puan Leha mengangkat mangkuk berisi hirisan bawang tadi lalu menuju ke sinki. Pili paip di buka, lalu bawang-bawang tadi dilarikan di bawah air.

“Habiskan potong kangkung tu.” Puan Leha berkata sambil menutup pili air.

“Nak potong macam mana, Mak?” Aufa menggaru-garu keningnya. Satu hal pulak, satgi salah potong, jadi macam bunga rambai aje.

“Kamu selalu makan kangkung macam mana?” Puan Leha dah berasap. Takkan potong kangkung pun tak reti. Ish, pening kepala melayan si Aufa ni!

“Dia panjang-panjang.” Aufa takut-takut. Betullah kan? Selalunya kalau makan kangkung ikan masin dekat kedai, dia punya daun tu sekali dengan batang yang kecik-kecik tu.

“Haa, potong macam tu lah.” Puan Leha mengurut dada. Nasib baik tahu!

Puan Leha mengeluarkan kuali dari kabinet bawah sinki. Selepas menuangkan minyak secukupnya, Puan Leha mula menumis bawang. Api dapur dikecilkan. “Aufa, bawak sini kangkung tu.” Jangan cakap tak siap potong lagi.

Aufa bangun dari duduknya. Mangkuk yang penuh berisi kangkung turut diangkat. Langkah diatur mendekati Puan Leha. “Nah, Mak.” Mangkuk tadi diunjurkan pada Puan Leha.

Puan Leha menjeling kangkung di dalam mangkuk. Nasib baik tak dipotong macam potong kucai. “Masukkan dalam kuali.” Arah Puan Leha.

Membulat mata Aufa. Biar betul Mak aku ni? “Hah?”

“Tak payah nak terkejut sangat. Bukannya Mak suruh kamu celup tangan dalam minyak panas.” Perli Puan Leha. Geram pula dia dengan Aufa ni.

Aufa menarik nafas berulang kali. Tangan kanan dimasukkan ke dalam mangkuk. Bismillahirrahmannirrahim. Sayur yang digenggam tadi perlahan-lahan dimasukkan ke dalam kuali. Berdesir sedikit minyak panas tadi.

“Lepas ni, mesti Aufa rindu dekat Mak.” Aufa memeluk Puan Leha dari belakang. Pipi Puan Leha dikucup berkali-kali. Muah! Muah!

“Ish, badan dah penuh bau bawang!” Ngomel Puan Leha.

Aufa tergelak manja tetapi pelukan langsung tidak direnggangkan. “Lepas ni, takde dah Mak dapat peluk Aufa bau bawang.”

Puan Leha menggeleng laju. “Dah, naik mandi. Nanti kita Zohor jemaah.” Arah Puan Leha.

“Baik, Madam!” Aufa siap buat tabik spring lagi. Langkah diatur keluar dari dapur lalu kaki mula memanjat tangga ke tingkat atas.

Puan Leha memandang kelibat Aufa yang mulai hilang. Berat hatinya mahu melepaskan anaknya ke tangan orang lain. Mampukah mereka memberikan kasih sayang secukupnya kepada Aufa? Mampukah mereka untuk tidak menyakitkan hati anaknya itu? Puan Leha mengeluh berat. Ya Allah, aku mohon yang terbaik untuk kebaikan anakku. Kau bimbinglah dia ke jalan yang Engkau redai, Amin.