Aufa masih berteleku di atas sejadah. Telekung yang tersarung masih belum dibuka. Dia menekur sejadah berlatarbelakangkan Kaabah itu, dan mutiara jernih yang ditahan sedari tadi tumpah jua. Tidak pula dia menyeka air mata yang mengalir laju di pipinya. Penglihatannya yang berbalam-balam itu langsung tidak diendahkan.
Ya Allah Ya Tuhanku, mengapa berat sangat ujian yang Engkau turunkan kepadaku? Aku tidak kuat untuk mengharunginya, Ya Allah. Kenapa kebahagiaan keluargaku yang menjadi taruhan? Apa dosa yang telah aku lakukan sehingga aku diuji sebegini rupa? Bersaksikan udara yang dihirup saban hari, cahaya yang menerangi hidupnya, Aufa tenggelam di dalam air matanya sendiri.
“Aufa …” Panggil satu suara di luar bilik.
Aufa mengangkat kepalanya dari menekur lantai. Laju sahaja dia menyeka sisa-sisa air mata di mukanya. Tangan dibawa meraup muka. Nafas panjang ditarik dalam-dalam sebelum dihembus perlahan-lahan. Aufa mengulangi perbuatan itu beberapa kali. Dia cuba mengembalikan rentak jantungnya.
“Aufa …” Kini suara tadi berselang-seli dengan ketukan di muka pintu.
Aufa berdehem kecil. “Ya, Abang.” Aufa menyahut panggilan Hakim. Telekung yang masih tersarung di kepala, dibuka.
“Boleh Abang masuk?” Tanya Hakim.
Aufa bangun dari duduknya. “Masuklah.” Aufa mula melipat telekung yang dipakainya lalu disidai sekali bersama sejadah.
Pintu bilik ditolak dari luar lalu terjengul kepala Hakim. “Adik, boleh Abang masuk?” Hakim mengulangi pertanyaannya sebentar tadi. Pelik juga apabila Aufa duduk bergelap.
“Masuklah.” Aufa berjalan menuju ke katil lalu lampu di sebelah katil dipetik. Sekejap sahaja bilik tidurnya yang gelap tadi kini disimbah cahaya lampu berwarna oren itu.
Hakim duduk di birai katil. “Adik, kenapa tak turun makan?” Pelik juga apabila Aufa tidak menampakkan diri semasa makan malam sebentar tadi. Hakim menepuk-nepuk tilam member isyarat supaya Aufa duduk di sebelahnya.
“Belum lapar.” Dalih Aufa . Tidak pula dia mengambik tempat di sebelah Hakim.
Hakim memandang Aufa yang masih berdiri di kepala katil. “Are you okay?” Suaranya dilembutkan sambil tangan digamitkan mengisyaratkan Aufa supaya datang duduk di sebelahnya.
Aufa mengangguk lalu senyum plastik ditampal. “Adik okay.” Aufa akur lalu mengambil tempat di sebelah Hakim.
Hakim mengalih posisi duduk supaya berhadapan dengan Aufa . “You’re a bad liar.” Masakan dia tak nampak mata Aufa yang bengkak seolah-olah baru lepas menangis itu?
Aufa tahu Hakim pasti dapat mengecam wajah sembabnya. “Adik..” Aufa terhenti. Tiada kata yang sesuai untuk dilafazkan tika ini.
Hakim menolak dagu Aufa dengan ibu jari. “Adik fikirkan pasal Ayah?” Tanya Hakim apabila wajah mereka selaras. Jelas di matanya, mata Aufa bergenang dengan air mata.
Aufa menghela nafas berat. “Abang rasa, apa yang Aufa buat ni salah ke?” Tiba-tiba, dia rasakan tindakannya untuk berkahwin ini adalah satu kesilapan. Kesilapan yang besar apabila kebahagiannya keluarga menjadi taruhan.
Hakim menarik nafas panjang. “Maksud Adik, perkahwinan ni satu kesilapan?” Hakim mahukan kepastian dari Aufa .
Aufamengangguk lemah. “Adik rasa, kita patut batalkan sahaja majlis ni.”Aufa menolak perlahan tangan Hakim yang memegang dagunya.
Hakim mengeluh perlahan. “Adik, kenapa ni?” Sejak dari petang tadi, Aufa bersungguh-sungguh mahu membatalkan perkahwinan yang tinggal beberapa bulan sahaja lagi.
Aufa menggigit bibir bawahnya. “Aufa taknak hilang Ayah.” Suaranya sudah bergetar, tubir mata terasa panas. Seburuk mana pun Encik Norman, dia tetap Ayah mereka. Masakan Aufa mahu mengetepikan kebahagiaan keluarganya semata-mata mahu memenuhi keinginannya untuk berkahwin.
Hakim memegang kejap bahu Aufa . Tubuh Aufa dipaksa supaya menghadapnya. “Adik, dengar ni.” Arah Hakim tegas. “Walau apa pun yang terjadi, Adik tak boleh batalkan perkahwinan ni.” Tegas sahaja suara Hakim.
“Tapi, Adik tak sanggup nak hilang Ayah.” Potong Aufa laju. Walaupun sepanjang sepuluh tahun ini, Encik Norman tidak pernah menghiraukan mereka, sekurang-kurangnya Encik Norman tidak pernah lupa untuk memastikan segala keperluan yang mereka perlukan cukup sepenuhnya.
“Kenapa Adik masih nak fikirkan pasal orang yang dah buang kita tu?!” Hakim sudah berang.
Aufa menggelengkan kepalanya. “Dia Ayah kita.” Perlahan sahaja suaranya dek kerana tenggelam dalam tangisnya.
Hakim meraup tapak tangan ke muka. “Memanglah dia Ayah kita. Tapi pernah ke selama ni, dia jalankan tanggungjawab sebagai seorang Ayah?!” Selama mereka membesar, Puan Leha yang menggalas tanggungjawab Encik Norman.
Aufa menekur lantai. Jelas sekali Hakim marahkannya. “Tapi, dia tetap Ayah kita.” Walaubagaimanapun, Encik Norman tetap Ayah mereka. Kenyataan itu tidak boleh disangkal lagi.
Hakim bangun dari duduknya. “Kenapa dengan Adik ni?!” Hakim sudah menengking. Merah matanya menahan marah.
Aufa mengangkat kepala memandang Hakim yang berdiri tegak di hadapannya. “I just want my father back. That’s all.” Lirih sahaja suara Aufa . Dia rela berkorban jika itu dapat memulangkan Encik Norman kembali kepada mereka. “Berat sangat ke permintaan Adik ni?”
Hakim melutut di hadapan Aufa . Tangan Aufa digenggam erat. “Abang janji, Ayah akan kembali balik pada kita.” Hakim sudah mula berjanji. “Kita akan dapat Ayah kita balik.” Bersungguh-sungguh dia mahu menyakinkan Aufa .
“Tapi, Ayah dah buang kita.” Air mata yang sudah berhenti tadi kembali mengalir laju. Aufa hanya membiarkan wajahnya dicemari air mata.
Hakim tak keruan apabila melihat Aufa menangis. “Hey, hey.” Hakim sudah memegang erat muka Aufa . “Ayah tak pernah buang kita.”
Aufa menggeleng laju. “Ayah dah buang kita.” Masakan dia tidak ingat sebaris ayat yang amat memeritkan itu. “Ayah dah buang kita.” Sekali lagi ayat itu meluncur keluar dari mulut Aufa .
“Adik, dengar ni.” Hakim bersuara tegas. “Abang akan pastikan, Ayah restu perkahwinan Adik ni.” Pujuk Hakim. “Abang janji.”
Aufa memejam-celikkan matanya beberapa kali. “Abang janji?”
Hakim mengangguk laju. “Abang janji.” Senyum yakin terhias dibibir Hakim.
“Thanks, Abang.” Aufa terus memeluk tubuh Hakim. Erat sekali pelukannya. “Thanks, Abang.” Ulang Aufa sekali lagi.
Hakim membalas pelukan Aufa tetapi tidak pula dia membalas ucapan terima kasih tadi. Lidahnya kelu. Dia sudah terlajak berjanji perkara yang belum pasti. Bagaimana dia mahu memastikan apa yang dijanjikan sebentar tadi menjadi realiti? Keterlaluankan dia kerana berjanji sebegitu?
Hai dan Hello !
Saya ada cerita baru untuk awak. Selamat membaca dan semoga terhibur :)
Evangelina
Terima kasih beribu lemon kerana singgah ke blog saya yang serba kekurangan ni.
Evangelina
Terima kasih beribu lemon kerana singgah ke blog saya yang serba kekurangan ni.